top of page

MINGGU ini merupakan Minggu Kesedaran Stres Sedunia yang menekankan pengurusan stres di tempat kerja dan peribadi.


Kenalpasti antara punca-punca stres di tempat kerja:

1. Tidak mahir dengan kerja

2. Hasil kerja tidak dihargai

3. Persekitaran tidak selesa

4. Tiada keseronokkan bekerja

5. Selalu dimarahi tanpa sebab

6. Rakan sekerja tidak membantu

7. Beban kerja berlebihan

8. Menangguh kerja


Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia



DR FIRDAUS ABDUL GHANI | 10 Oktober 2019


TANGGAL 10 Oktober setiap tahun merupakan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia.

Ia mula disambut mulai tahun 1992 dan diperkenalkan oleh World Federation of Mental Health (WFMH) dengan tema yang berbeza saban tahun.

Tema pada tahun ini adalah promosi kesihatan mental dan pencegahan bunuh diri.

Sempena sambutan Hari Kesihatan Mental tahun ini, terdapat banyak organisasi yang menganjurkan kempen serta program saringan kesihatan mental di seluruh negara.

Contohnya, Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama beberapa agensi lain turut menganjurkan program ‘Let’s talk minda sihat’ untuk menggalakkan rakyat lebih terbuka berbicara mengenai kesihatan mental.

Mengapa tema ini dipilih?

Umum mengetahui bahawa terdapat peningkatan yang ketara dalam kes penyakit mental dan bunuh diri kebelakangan ini.

Ia sering dikaitkan dengan masalah kesihatan mental yang semakin terjejas akibat gaya hidup serta kemajuan dunia masa kini yang banyak menimbulkan tekanan pada seseorang individu.

Hasil kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati 29.2 peratus rakyat Malaysia mengalami tekanan atau masalah kesihatan mental.

Ini bermaksud, tiga daripada 10 individu berusia 16 tahun ke atas mempunyai masalah kesihatan mental di mana wanita menunjukkan kadar yang sedikit tinggi berbanding lelaki.

Jika dilihat mengikut negeri, Sabah mencatatkan kadar tertinggi dengan 42.9 peratus penduduknya didapati mengalami tekanan atau masalah kesihatan mental berbanding 39.8 peratus di Kuala Lumpur dan 39.1 peratus di Kelantan.

Di kalangan kanak-kanak juga menunjukkan kadar yang membimbangkan iaitu sebanyak 12.1 peratus. Ia menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding tinjaun sebelumnya.

Apakah kepentingan kesihatan mental?

World Health Organization (WHO) telah mengatakan, kesihatan yang baik turut merangkumi kesihatan mental dan bukan hanya fizikal semata-mata.

Ini jelas menunjukkan kepentingan komponen kesihatan mental dalam kehidupan sesorang individu.

Malahan, jika kesihatan mental terjejas, ia juga boleh menyebabkan gejala fizikal kerana ia saling berhubung kait.

Untuk itu, adalah penting untuk kita menyedari bagaimana untuk memelihara kesihatan mental dengan baik.

Ia dapat mencegah daripada berlakunya penyakit mental yang disebabkan oleh kesihatan mental yang terjejas secara berpanjangan tanpa ditangani.

Apakah definisi kesihatan mental?

Ia adalah satu keadaan yang sejahtera di mana seseorang individu menyedari tentang keupayaan diri, dapat mengendalikan tekanan dengan baik, bekerja secara produktif serta mampu menyumbang kepada masyarakat.

Ini bermaksud jika kesihatan mental terjejas, sedikit sebanyak ia akan turut menjejaskan fungsi hidup seseorang individu .

Walaupun terdapat kesedaran yang lebih di kalangan masyarakat dan liputan media massa berbanding dahulu mengenai kesihatan mental, namun kita mengakui usaha untuk mempromosikan kesihatan mental ini masih lagi belum mencukupi.

Ramai lagi yang masih lagi keberatan untuk bercakap mengenai kesihatan mental, apatah lagi mendapatkan rawatan atau berjumpa pakar psikiatri.

Stigma yang mendalam terhadap perawatan psikiatri masih lagi belum dapat dihapuskan sepenuhnya dalam masyarakat kita.

Ini menyebabkan mereka lambat mendapatkan rawatan serta menyebabkan penyakit menjadi sukar dirawat atau bertambah teruk.


Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa kebanyakkannya cuma mendapatkan rawatan psikiatri selepas beberapa bulan, malahan untuk penyakit Schizohrenia contohnya, purata masa untuk mendapatkan rawatan adalah sehingga 18 bulan dari tempoh gejala bermula.

Untuk itu, promosi kesihatan mental bukan sahaja penting untuk menyedarkan masyarakat tentang gejala kesihatan mental malahan betapa pentingnya untuk perawatan awal.

Angka membimbangkan

Bercakap mengenai kadar bunuh diri, mengikut WHO, lebih daripada  800,000 individu membunuh diri setiap tahun atau kira-kira satu nyawa setiap 40 saat.

Ia menjadi punca utama kematian di kalangan mereka yang berusia di antara 15 sehingga 29 tahun.

Lebih ramai lelaki yang membunuh diri berbanding wanita tetapi lebih ramai wanita yang membuat cubaan untuk membunuh diri atau mencederakan diri.

Ia adalah satu kadar yang amat membimbangkan. Dahulunya ramai beranggapan bahawa hanya orang dewasa yang menunjukkan kecenderungan untuk membunuh diri tetapi hakikatnya pada masa kini, kian ramai kanak-kanak dan remaja yang berisiko disebabkan oleh keganasan, penderaan seksual dan buli.

Ini termasuklah kes yang melibatkan buli secara atas talian (cyberbully) di media sosial yang kian berleluasa.

Kejadian bunuh diri adalah suatu perkara yang boleh dicegah. Mereka yang berisiko boleh dikenalpasti serta diberikan intervensi awal.

Antara yang berisiko adalah mereka yang mempunyai kemurungan, penyakit fizikal yang kronik, mengambil alkohol, tiada sokongan sosial serta tekanan hidup yang berlarutan.

Berdasarkan kajian, mereka yang pernah cuba membunuh diri mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk berbuat demikian.

Tanggungjawab untuk pencegahan bunuh diri bukan hanya terletak kepada badan atau perkhidmatan kesihatan mental sahaja, tetapi juga pada organisasi lain termasuklah sekolah, universiti, badan professional serta masyarakat setempat.

Adalah penting untuk memberi maklumat yang tepat tentang saluran untuk mereka mendapatkan bantuan seperti talian Befrienders serta perkhidmatan kesihatan yang berdekatan.

Ramai yang kurang selesa apabila bercakap mengenai bunuh diri dan terdapat banyak salah faham mengenainya.

Kebanyakannya cepat menangkis dengan mengatakan bahawa ia bukan cara untuk menyelesaikan masalah serta bertentangan dengan agama.

Mereka menganggap bahawa ia satu perkara yang tidak perlu dibicarakan secara terbuka.

Ini menyebabkan ramai yang mempunyai pemikiran untuk membunuh diri memendam perasaan serta menjadikan keadaan mereka lebih teruk tanpa bantuan yang sewajarnya.

Setiap individu boleh memainkan peranan dalam membantu. Lebih banyak mendengar daripada mengomel, elakkan melabel mereka yang mengalami masalah sebagai lemah atau kurang iman serta sentiasa memberikan sokongan kepada yang memerlukan.

Cuba untuk fahami bahawa semua orang mempunyai perjalanan hidup yang berbeza dan jika kita meletakkan diri kita di tempat mereka, maka mungkin kita lebih dapat memahami apa yang dialami.

Adalah lebih baik untuk berbuat sesuatu untuk membantu daripada mengkritik tindakan yang dibuat oleh mereka.

Marilah kita bersama-sama mempromosikan kesihatan mental serta pencegahan bunuh diri agar suatu hari nanti ia bukanlah sesuatu yang janggal untuk dibicarakan secara terbuka.

Apa yang diharapkan agar suatu hari nanti, masyarakat boleh bercakap mengenai penyakit mental seperti kemurungan, bipolar atau schizophrenia sama seperti mereka bercakap tentang kencing manis, darah tinggi atau sakit jantung.

Boleh ambil peluang sempena sambutan Hari Kesihatan Mental ini untuk mendapatkan maklumat atau menjalankan saringan kesihatan mental di program-program yang dijalankan berhampiran dengan tempat anda.

Tiada kesihatan yang baik tanpa kesihatan mental yang sejahtera.

Selamat Hari Kesihatan Mental 2019.




Sabtu, 28 September 2019 10:00 AM


Apakah insomnia?

Insomnia adalah satu keadaan di mana penderita tidak mendapat tidur yang cukup untuk dirinya sama ada dari segi kualiti atau kuantiti.

Kajian daripada Jurnal Kesihatan Awam Asia Pasifik menunjukkan corak insomnia dalam populasi Malaysia adalah sebanyak 54 peratus, di mana 12.2 peratus daripadanya datang daripada subjek yang sedang menderita insomnia tahap kronik.


Menurut Pakar Neurologi, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr Sathindren Santhirathelagan, umumnya golongan dewasa memerlukan antara enam hingga lapan jam tidur setiap malam, manakala kanak-kanak pula memerlukan masa tidur yang lebih panjang.

Sementara itu, masa yang lebih pendek untuk warga usia emas iaitu di antara empat hingga lima jam sehari.


“Sebenarnya tidur melibatkan beberapa proses dalam otak dan melibatkan imbangan bahan-bahan kimia (neurotransmitters) dalam otak. Sekiranya proses ini terganggu, atau bahan kimia tersebut tidak seimbang, maka proses tidur akan terjejas,” katanya kepada mStar.

Berikut merupakan tip dan informasi mengenai penyakit insomnia yang dikongsi Dr Sathindren.


Punca

Kadang-kadang gangguan tidur ini terjadi tanpa sebab yang boleh dikesan, kebanyakan kes terjadi kerana ada pendorong lain seperti:

1) Ada penyakit lain dalam badan

2) Kesihatan terganggu

3) Stres belebihan

4) Masalah fisiologi seperti pencernaan yang kurang baik

5) Gangguan seksual

6) Gangguan televisyen, komputer, telefon

7) Bunyi bising persekitaran seperti pasangan berdengkur


Cara mengubati insomnia

1) Elakkan stres

2) Wujudkan suasana tidur yang selesa

3) Kerjasama daripada pasangan agar kurang berdengkur

4) Minum susu suam atau teh chamomile sebelum tidur

5) Elakkan merokok atau minuman keras sebelum tidur

6) Makan makanan mudah dicerna

7) Elak lihat gambar menghairahkan atau menggerunkan

8) Amalkan gaya hidup sihat dengan bersenam

9) Ubat penenang ringan dengan pengawasan doktor (langkah terakhir)




Menurut Dr Sathindren, pesakit insomnia tidak boleh menjadi gila atau rosak otak kecuali langsung tidak tidur, namun ini jarang sekali berlaku.

Bagaimanapun, proses kurang tidur akan mengakibatkan gangguan neurotransmitter dan membawa kepada perasan bimbang (anxiety) atau murung (depression).

Justeru, individu yang berdepan masalah untuk tidur perlu mendapatkan nasihat doktor serta mengelak penggunaan pil tidur untuk jangka panjang. 

bottom of page