top of page

NURUL RIDUAN NOR ASHAHA | | 21 Mei 2019

MINGGU lalu pada tanggal 14 Mei, kita dikejutkan dengan berita seorang remaja perempuan berusia 16 tahun membunuh diri dengan terjun dari bangunan tiga tingkat di Kuching, Sarawak.


Remaja malang itu bertindak sedemikian selepas membuat undian secara langsung di laman Instagramnya dengan menulis Really Important, Help Me Choose D/L (mati atau hidup). Undian itu memperoleh keputusan 69 peratus menyokongnya supaya membunuh diri!


Mengapa dia memutuskan untuk mengakhiri riwayatnya? Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Aidil Bolhassan menjelaskan remaja itu tertekan selepas bapa tirinya berkahwin dengan wanita Vietnam di Singapura dan jarang pulang ke rumah.


Kata kunci terhadap tindakan tersebut ialah dia tertekan dan ini adalah sebahagian daripada gejala depresi!


Kejadian yang berlaku itu mendapat perhatian serius Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengakui beliau sebelum ini pernah mengalami tekanan dan kemurungan tetapi bernasib baik kerana mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan rapat.


Bukan semua isu mental sama dengan istilah gila. Masyarakat perlu faham asas gejala mental. Masalah kebimbangan melampau (anxiety), kemurungan (depression) dan ketegangan jiwa (stress) bukan istilah gila.Kajian Kesihatan Mental Kebangsaan 2017 sebelum ini membuktikan sekurang-kurangnya satu daripada 10 anak muda atau 10 peratus daripada 5.5 juta belia di negara ini pernah terfikir untuk membunuh diri.


Kajian sama turut menunjukkan satu daripada lima anak muda mengalami kemurungan, manakala satu daripada 10 remaja berhadapan masalah tekanan perasaan.


Statistik berkenaan membuktikan isu kesihatan mental di Malaysia, khususnya dalam kalangan anak muda amat serius dan perlu ditangani secara berkesan oleh semua pihak.

Namun, isu kesihatan mental kurang mendapat perhatian di negara ini kerana ia menjadi taboo dalam kalangan masyarakat menyebabkan mereka yang berhadapan masalah mental tidak mendapat rawatan.


Begitu juga dengan rakyat Malaysia yang sihat. Kurangnya pendedahan tentang depresi itu menjadi punca rakan remaja perempuan tersebut menyokongnya membunuh diri.

Isu depresi ini bukanlah isu yang berlegar di Malaysia sahaja. Di peringkat global, kesannya lebih parah. Di India pada April lalu, sekurang-kurangnya 20 remaja membunuh diri hanya disebabkan mereka gagal dalam peperiksaan zoologi.


Selanjutnya sila tekan link dibawah:




25 April 2019


STRES adalah tindak balas emosi, fizikal dan mental akibat perubahan dalam sesuatu keadaan yang berlaku dalam kehidupan harian manusia.

Stres merangkumi beban, tekanan, kebimbangan, keletihan, konflik, panik, kemurungan dan tidak bermaya.


Secara umumnya, stres terbahagi kepada stres jangka pendek dan stres jangka panjang.

Stres jangka pendek merupakan tindak balas spontan tubuh badan terhadap apa-apa situasi yang mencabar, bahaya atau menakutkan.


Tahap stres biasanya bergantung kepada beberapa faktor seperti tempoh stres yang dialami dan bagaimana individu tersebut menangani stres tersebut.

Stres jangka panjang pula selalunya dialami oleh mereka yang menghidapi stres yang berpanjangan. Stres seperti ini selalunya disebabkan oleh penyakit berbahaya atau masalah yang berpanjangan.


Punca utama stres seringkali dikaitkan dengan masalah kehidupan yang terjadi seperti masalah peribadi, masalah di tempat kerja dan lain-lain.

Bahayanya stres ini ia bukan sahaja boleh menjejaskan kualiti kehidupan kita, malahan orang sekeliling seperti keluarga dan kawan rapat kita juga boleh terkena tempiasnya.


Stres jika tidak ditangani dengan betul boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit dan memberi kesan buruk terhadap tubuh badan kita.

Kita sering memandang ringan tentang stres namun tahukah anda ada jenis penyakit yang boleh disebabkan oleh stres hingga membawa maut?


Berikut adalah antara kesan-kesan stres terhadap fizikal dan mental jika kita tidak pandai mengurus stres dengan baik:


1. SERING LUPA DAN SUSAH FOKUS

Stres boleh menyebabkan kita sering lupa dan susah untuk fokus. Ini kerana apabila stres, kita sering hilang fokus untuk memberi tumpuan terhadap perkara lain yang terjadi di sekeliling. Masalah ini bukan sahaja memberi impak negatif terhadap kehidupan seharian, malahan prestasi kerja juga boleh merosot jika kita susah fokus untuk menyiapkan tugasan yang telah diberikan.


2. INSOMNIA

Insomnia adalah masalah ketidakupayaan manusia untuk tidur pada waktu malam. Penghidap insomnia seringkali menghadapi masalah tidak dapat tidur pada waktu malam dan akan mengalami keletihan pada hari berikutnya.

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada insomnia, namun salah satu punca insomnia adalah stres.


Apabila stres, otak manusia akan lebih aktif daripada biasa.

Mereka yang menghadapi stres tidak boleh berhenti untuk berfikir walaupun pada waktu di mana tubuh badan mereka sepatutnya rehat, apabila tubuh kurang mendapat rehat, maka ia akan menjadi lesu pada hari berikutnya.


3. SAKIT KEPALA

Sakit kepala yang berpunca daripada stres juga dikenali sebagai sakit kepala akibat pengecutan otot yang berlaku daripada tekanan emosi atau ketegangan fizikal.

Sakit kepala ini boleh berlaku sekali atau berulang-ulang dalam seminggu bergantung kepada tahap emosi mereka yang stres.


4. PENYAKIT JANTUNG

Hormon berperanan penting untuk memastikan keremajaan dan kualiti kesihatan seseorang. Hormon juga adalah bahan kimia yang dihasilkan oleh kelenjar endokrin yang memiliki kesan tertentu kepada aktiviti organ lain dalam tubuh.


Terdapat pelbagai kajian yang menunjukkan kaitan antara ketidakseimbangan hormon dan kanser payudara.

Bagaimanapun, ketidakseimbangan hormon boleh diatasi dengan menjaga pemakanan anda.


Oleh itu, hidangan makanan perlu diiringi protein, karbohidrat dan lemak yang seimbang.

Antara amalan pemakanan yang boleh anda lakukan adalah makan ikan yang tinggi dengan lemak Omega-3 seperti salmon dan sardin, minum teh hijau yang tinggi anti-oksida, dan gunakan lemak sihat seperti minyak kelapa dan minyak kelapa sawit semasa memasak.


5. SISTEM PENGHADAMAN TERGANGGU

Stres yang kronik boleh mengganggu sistem penghadaman manusia.

Simptom seperti mual, perut berangin, makanan susah untuk dihadam boleh jadi berpunca daripada stres. Sekiranya kita menghadapi simptom ini, pastinya kualiti kehidupan dan kesihatan terjejas.


6. EMOSI TIDAK STABIL

Emosi yang tidak stabil adalah salah satu kesan negatif yang terjadi disebabkan stres.

Mereka yang menderita akibat stres tidak mampu menyelesaikan masalah walaupun ia hanyalah masalah kecil.


Selain itu penderita juga akan sering rasa cemas dan mudah risau tentang perkara-perkara kecil.


Mereka yang menghadapi stres akan mudah berasa kecewa, cepat naik darah dan mudah marah.


Kesan ini bukan sahaja boleh memberi impak negatif dalam pekerjaan, malahan hubungan dengan rakan dan keluarga juga boleh terjejas disebabkan emosi yang tidak stabil.


Intan Mas Ayu Shahimi | 28 Ogos 2018



Apabila bercakap mengenai hal yang diberi perhatian sepanjang membesarkan anak, lazimnya ibu bapa lebih banyak memberatkan soal pencapaian dan kecemerlangan akademik. Malangnya, ini secara tidak langsung mendorong meningkatnya isu kesihatan mental.

Apabila bercakap mengenai hal yang diberi perhatian sepanjang membesarkan anak, lazimnya ibu bapa lebih banyak memberatkan soal pencapaian dan kecemerlangan akademik. Malangnya, ini secara tidak langsung mendorong meningkatnya isu kesihatan mental.

Statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017 yang lalu mendedahkan keadaan kesihatan mental dalam kalangan anak remaja semakin membimbangkan.

Perilaku mahu membunuh diri dalam kalangan kelompok usia remaja meningkat sejak kajian NHMS 2012. Lebih mengejutkan apabila ia dicatatkan paling tinggi berlaku dalam kalangan pelajar tingkatan satu.

NHMS 2017 juga mendedahkan terdapat anak remaja berusia 13 hingga 17 tahun yang mengalami masalah kesihatan mental. Satu dalam setiap lima orang mengalami kemurungan (18.3 peratus), dua dalam setiap lima orang dilanda simptom keresahan (39.7 peratus) dan satu dalam setiap 10 orang mengalami stres (9.6 peratus).

Menyedari senario ini, program Pengasuhan Positif (PP) kini memperjuangkan pentingnya semangat kental, sebagai salah satu faktor perlindungan yang perlu diambil kira ibu bapa dalam membesarkan anak-anak.

Aspek ini perlu diberi perhatian khusus demi membentuk anak yang lebih kental dan tabah dari segi emosi, sukar menyerah, bijak menangani permasalahan, sekali gus menjadikan mereka berdaya saing pada masa hadapan.

Menurut Pengerusi Program Pengasuhan Positif dan Setiausaha Agung Persatuan Pediatrik Asia Pasifik, Datuk Dr Zulkifli Ismail, peranan, perhatian dan sikap peka ibu bapa sangat penting dalam membesarkan anak yang kuat dari segi emosi.

“Seorang kanak-kanak yang mempunyai semangat kental boleh menyesuaikan diri dalam situasi sukar. Dia juga mampu bangun semula daripada kegagalan atau pengalaman yang menyebabkan trauma,” katanya.

Beliau menjelaskan hal itu secara ringkas ketika memulakan majlis dialog, Membesarkan Anak yang Kental Jiwa dan Minda Melalui Pengasuhan Positif di sini, baru-baru ini. Tiga panel jemputan yang berkongsi idea, pengalaman dan panduan adalah Pakar Perunding Perkembangan Kanak-kanak, Dr Rajini Sarvananthan; Pakar Psikologi Klinikal, Prof Madya Dr Alvin Ng Lai Oon serta Pakar Psikologi Perlakuan, Alexius Cheang.

Setuju Model 7C

Jelas Dr Rajini, kajian di Amerika Syarikat sebelum ini menunjukkan masalah kesihatan mental meningkat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja disebabkan beberapa isu. Antaranya adalah disebabkan tekanan untuk memenuhi jangkaan ibu bapa atau keluarga dan sentiasa mahu melakukan yang terbaik di sekolah.

“Saya percaya bahawa di Malaysia juga tidak banyak yang berbeza. Menilai dari sudut pandangan seorang ibu dan melihat daripada perspektif sama, saya percaya kanak-kanak serta remaja di negara ini juga berdepan tekanan yang sama.

“Malah sekiranya dibahagikan mengikut perbezaan sosial ekonomi sesebuah keluarga, mungkin tekanan yang dihadapi kanak-kanak miskin lebih besar berbanding mereka yang hidup selesa,” katanya.

Bersetuju dengan pendapat sama, Alexius Cheang berkata, ramai ibu bapa hari ini tidak sedar mereka memberi tekanan besar dalam hidup anak dengan alasan untuk jaminan masa depan yang lebih cemerlang.

“Selalunya ibu bapa memang tidak berniat menekan anak. Tetapi hakikatnya, mereka kerap membandingkan pencapaian anak sendiri dengan apa yang diperoleh anak orang lain.

“Walaupun di peringkat sekolah rendah, ibu bapa cenderung meletak jangkaan tinggi terhadap anak. Mereka mahu anak sentiasa memperoleh A dalam subjek dipelajari.

“Bagaimana dengan potensi lain? Kreativiti dan kelebihan yang sepatutnya turut dilihat ibu bapa, namun diabaikan kerana mengejar kecemerlangan akademik semata-mata. Sebab itulah anak perlu dididik menjadi seorang yang kental. Mereka perlu ada semangat yang kuat untuk berdepan desakan emosi.

“Ibu bapa pula tidak bolehlah sentiasa meletak jangkaan tinggi pada anak tanpa membantu, memberi bimbingan, nasihat dan galakan kepada mereka. Kehidupan dalam era berbeza juga tidak boleh dijadikan alasan mengapa anak kini sukar dibentuk. Pendedahan dunia mungkin berbeza, namun asuhan tetap memerlukan asas yang serupa,” katanya.

Oleh itu, kata Dr Rajini, terbukti jiwa dan minda yang kental memainkan peranan penting dalam membantu anak berdepan cabaran hidup hari ini dan pada masa akan datang.

Salah satu cara untuk melengkapkan keperluan itu adalah menerusi Model 7C, iaitu kecekapan (competence), keyakinan (confidence), hubungan (connection), keperibadian (character), sumbangan (contribution), menghadapi situasi (coping) dan kebolehan mengawal (control).


Kata Dr Alvin Ng pula, ibu bapa perlu berhati-hati dengan pendekatan membesarkan anak dan memberi penekanan pada empat C pertama yang disebut Dr Rajini.

“Pertama adalah soal kecekapan. Mereka perlu bimbing anak supaya mampu melakukan sesuatu dengan jaya dan cekap tidak kira dalam apa juga situasi.

“Kedua, tanamkan keyakinan dan rasa percaya diri anak terhadap kebolehannya mereka sendiri. Kemudian bina hubungan (connection) positif supaya anak boleh berinteraksi baik dengan orang di sekeliling mereka dan akhir sekali, tanamkan keperibadian mulia. Ajarkan kepada anak mengenai sifat mulia, nilai moral dan akhlak yang baik seperti kejujuran, integriti atau rendah diri,” katanya.

Melengkapkan model 7C, Alexius Cheang berkata, tiga C yang terakhir perlu seiring kerana mempunyai impak besar dalam kehidupan kanak-kanak. Sumbangan (contribution) umpamanya, mendidik anak-anak menjadi seorang yang bertimbang rasa.

“Adanya semangat sukarela dalam diri anak menjadikan mereka seorang yang jauh lebih baik. Mereka biasanya lebih terbuka menawarkan bantuan kepada orang lain.

“Begitu juga dengan kemahiran menghadapi situasi. Ia berkait dengan kebolehan menangani masalah atau sebarang krisis mendatang dan akhirnya adalah kebolehan mengawal nasib, diri serta ketika berdepan situasi tidak terduga.

“Jadi, ibu bapa usah beri perhatian pada kecemerlangan akademik saja. Gunakan Model 7C sebagai panduan untuk memupuk kecerdasan emosi anak. Ini adalah kemahiran yang mereka perlukan untuk berjaya dalam hidup apabila dewasa kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli berkata, program PP digerakkan untuk membendung masalah ini bermula dari peringkat awal dengan memperkasa peranan ibu bapa dalam mendidik anak.

“PP adalah satu inisiatif Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) yang bermula pada 2000 dan disokong badan kesihatan profesional penting seperti Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM), Persatuan Psikologi Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Persatuan Kesihatan Malaysia (MHHA) dan banyak lagi,” katanya.

bottom of page